Monday, April 30, 2007

SEJARAH LOMPAT JAUH

Lompat jauh adalah sejenis acara olahraga di mana seseorang ahli sukan atau atlet cuba mendarat sejauh yang boleh dari tempat pelepasan.
Mereka yang bertanding akan berlari di laluan (pada tahap elit, biasanya mempunyai permukaan yang sama dengan trek larian) dan melompat sejauh yang boleh dengan memijak sepintas pada papan kayu ke bahagian yang diisi pasir atau tanah. Jarak minimum dari papan ke tanda yang dibuat oleh atlit pada pasir diukur. Jika seseorang itu memulakan lompatannya dengan mana-mana bahagian kakinya di depan atau melebihi papan (satu lapisan plastisin diletakkan dengan segera di depan papan untuk mengesan ketepatan ini), lompatannya diisytiharkan salah atau batal dan tiada jarak akan direkodkan.
Format sebenar pertandingan ini berbeza, tetapi secara amnya peserta akan mendapat beberapa kali cubaan untuk membuat lompatan dan hanya lompatan yang terpanjang akan dikira sebagai keputusan. Peserta dengan lompatan sah yang paling jauh pada akhir pertandingan akan dikira sebagai juara.
Kelajuan semasa berlari dan tinggi lonjakan merupakan kunci lompatan yang jauh. Oleh itu tidak hairanlah jika atlet lari pecut turut bertanding dan memenangi acara ini.
Lompat jauh telah dijadikan sebagai sebahagian daripada Sukan Olimpik.
Acara ini juga dicatat sebagai dua daripada rekod dunia yang paling lama berdiri dalam sebarang acara balapan dan padang. Pada 1935, Jesse Owens mencatatkan rekod dunia yang tidak dipecahkan sehingga 1960 oleh Ralph Boston.
Lompat jauh adalah salah satu daripada acara Olimpik pada Yunani Purba. Seseorang atlit akan memegang beban pada kedua-dua tangan yang dipanggil halteres. Beban ini akan dilayangkan ke hadapan seiring apabila atlet melompat untuk menambah momentum dan dibaling ke belakang apabila berada di udara untuk menolaknya ke hadapan. Paling dingati dalam acara purba adalah seorang lelaki dipanggil Chionis di mana pada Olimpik 656 SM mencatatkan lompatan sejauh 7 m 5 cm.
KATEGORI PESERTA


1. Remaja lelaki dan perempuan = mana-mana atlet yang berumur 16 atau 17 tahun
pada 31 disember tahun pertandingan.

2. Lelaki dan wanita junior = mana-mana atlet yang berumur 18 atau 19 tahun pada
31 disember tahun pertandingan.

3. Lelaki dan wanita master = mana-mana atlet yang mencapai hari lahir ke-35

REKOD LOMPAT JAUH

REKOD MALAYSIA

NAMA NEGERI JARAK TARIKH TEMPAT
LELAKI = Mohd Zaki Sadri Selangor 7.85M 20.08.96 Kangar

WANITA = Noraishah Ismail Selangor 6.14M 09.05.93 KL


REKOD SUKMA

LELAKI = Chai Song Lip Sarawak 7.53M 1996 Kuantan

WANITA = Masliza Shaari Pahang 5.82M 1996 Kuantan

Sunday, April 29, 2007

GAYA/TEKNIK LOMPAT JAUH


Terdapat tiga jenis gaya lompatan dalam lompat jauh iaitu :-

  • Gaya layar
  • Gaya gantung
  • Gaya tendang







GAYA LAYAR



GAYA GANTUNG

GAYA TENDANG KAYUH

FASA LOMPAT JAUH


Semua gaya atau teknik lompat jauh menunjukkan empat fasa pergerakan. Keempat-empat fasa itu ialah :-

  • fasa penujuan – lari menuju ke papan lonjak
  • fasa lonjakan – melompat dari papan
  • fasa layangan – badan berada di udara.
  • fasa pendaratan – (termasuk pulihan) sentuhan bahagian badan dengan tempat mendarat.

    FASA PENUJUAN
  • Fasa ini memerlukan seseorang atlet berlari dengan kepantasan yang optimum dan terkawal.
  • Bilangan langkah larian ini berbeza di antara setiap individu.
  • Faktor penting ialah bilangan itu mesti membolehkan peserta mencapai kepantasan yang maksimum untuk menghasilkan lonjakan yang berkesan.
  • Gaya berlari untuk kompat jauh adalah sama dengan gaya lari pecut. Apabila hampir sampai papan lonjak, dia mesti bersedia untuk melonjak.
  • Pada langkah terakhir atlet harus merendahkan sedikit bahagian badannya untuk mendapat tolakan yang berkesan daripada kaki yang telah bengkok.


FASA LONJAKAN

  • Tumpuan utama fasa ini ialah untuk mencapai lompatan yang tinggi.
  • Tapak kaki yang digunakan untuk melonjak mestilah memijak papan lonjak dengan tepat di mana hujung kaki tidak menyentuh kawasan yang terletak di hadapan papan.
  • Aksi lonjakan ini mengamalkan urutan tumit-hujung kaki. Tolakan kaki hendaklah kuat dan diluruskan pada saat-saat akhir untuk membantu lonjakan yang tinggi.
  • Serentak dengan lonjakan itu, kaki bebas hendaklah dihayun dengan kencang ke hadapan dengan bahagian lutut dibiarkan tinggi.
  • Pada masa yang sama, kedua-dua belah tangan dihayun ke hadapan dan ke atas untuk membantu mencapai lonjakan yang lebih tinggi.


    FASA LAYANGAN

  • Gaya badan dan pergerakan pelompat di fasa ini bergantung kepada gaya yang hendak digunakan.
  • Tujuan utama ialah supaya pelompat dapat berada di fasa ini lebih lama untuk melambatkan pendaratannya.

Selepas melonjak, gaya badan adalah seperti berikut:-

  • Bagi tendang kayuh, pelompat seolah-olah melangkah di udara dan badannya tegak.
  • Bagi gaya layar, pelompat melunjurkan kedua-dua belah kakinya ke hadapan dan badannya dicondongkan ke hadapan. Tangan pelompat dihulurkan hingga hujung kaki.
  • Bagi gaya gantung, pelompat mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas seolah-olah bergantung di udara.
  • Kedua-dua kakinya diangkat ke belakang.
  • Bagi gaya selangkah, pelompat menhayunkan bahagian kakinya yang bebas ke hadapan selepas lonjakan.
  • Tindakan seperti di dalam gaya tendang kayuh tidak dilakukan.
  • Kaki yang digunakan untuk melonjak mengikut dari belakang.
  • Ini bererti kaki pelompat berada di dalam keadaan terkangkang semasa membuat layangan.
  • Sebelum mendarat, kaki lonjak pelompat akan dibawa ke hadapan supaya bersama dengan kaki bebas.


    FASA PENDARATAN
  • Ketika berada dalam fasa ini, pelompat mestilah memberi perhatian kepada imbangan badan dan pencapaian jarak.
  • Kaki dihulur ke hadapan dan sewaktu mencecah tempat mendarat (tumit kaki dahulu) lutut dilenturkan untuk mengurangkan kesan tekanan pendaratan dan tangan dihayunkan ke atas.
  • Badan dicondongkan ke hadapan supaya keseluruhan badan terus menuju ke hadapan.

PRINSIP ASAS LOMPAT JAUH

1. Tujuan utama lompat jauh ialah mencapai jarak lompatan yang maksimum.

2. Jika seseorang atlit ingin menjadi pelompat yang handal, dia mestilah berupaya berlari dengan pantas melompat dengan kuat dan mempunyai kelenturan badan serta daya koordinasi yang baik.

3. larian dan lonjakan akan menyebabkan pelompat bergerak mengikut satu lingkungan parabola di mana jarak lompatannya dapat tentukan.

4. Sebenarnya gaya badan semasa berada di fasa layangan adalah untuk mengimbangkan badan dan membolehkan pelompat membuat persedian untuk mendarat dengan selamat dan berkesan.

5. Suatu kajian dalam bidang olahraga (Gordon, 1975) telah membuktikan bahawa gaya tendang kayuh hanya berkesan dan sesuai bagi pelompat yang mampu melompat jarak yang lebih daripada 5 meter.

6. Gaya layar adalah suatu gaya lompatan yang popular kerana ia mudah diajar. Walau bagaimanapun, gaya ini mempunyai kelemahannya yang tersendiri dan kurang berkesan untuk dijadikan sebagai satu teknik lompat jauh yang dapat contohi. Gaya layangan di dalam teknik ini menyebabkan pelompat cepat mendarat.

7. Gaya yang dicadangkan ini hampir sama dengan gaya tendang kayuh, kecuali tindakan "kayuh" itu tidak dilakukan di dalam gaya ini. Kelebihan gaya ni ialah selain daripada senang dipelajari, ia dapat memudahkan atlit mempelajari gaya tendang kayuh apabila sampai masanya.



Lompat jauh gaya selangkah.




BUTIRAN MENGAJAR


1. Larian menuju ke papan lonjak hendaklah cukup pantas dan terkawal.

2. Melonjak dengan kuat dan lutut kaki bebas diangkat tinggi ketika melonjak.

3. Kedua-dua belah tangan dihayun ke atas untuk membantu lonjakan.

4. Ketika di peringkat layangan, pelompat hendaklah memandang tepat ke hadapan.

5. Kedua-dua belah kaki mestilah dilunjurkan ke hadapan badan semasa bersedia untuk mendarat.

6. Badan digerakkan ke hadapan supaya pelompat tidak jatuh ke belakang.

7. Gerakan ini dilakukan dengan menghayunkan tangan ke hadapan dan membengkokkan kaki semasa tumit pelompat mencecah tanah.

LATIHAN ASAS LOMPAT JAUH

  • Latihan Plyometrik
  • Lompat ketingting melepasi 8 batang rotan yang disusun pada jarak 2 meter.
  • Lompat dengan dua belah kaki ke atas tiga bangku yang disusun pada jarak 2 meter.
  • Lompat ke kawasan pendaratan dari bangku yang diletakkan 1 meter dari tempat pendaratan.
  • Lompat ke kawasan pendaratan melepasi batang rotan yang diletakkan pada ketinggian 2 kaki.





Aktiviti dan perkara yang perlu dibincangkan dalam kumpulan:-
# Ukur jarak lompatan melepasi batang rotan yang diletakkan pada ketinggian 2 kaki.

#Ukur jarak lompatan melepasi batang rotan yang diletakkan pada ketinggian 3 kaki.
# Bincangkan dalam kumpulan sebab-sebab terdapat perbezaan antara dua ukuran ini.

LATIHAN ANSUR MAJU

  • Atlet mencuba beberapa aktiviti melompat untuk menentukan kaki kiri atau kaki kanan yang lebih selesa digunakan untuk melonjak.
  • Latihan lompat ketingting antara dua tempat dan melepasi halangan boleh dianggap sebagai suatu aktiviti yang dapat memenuhi kehendak ini.


    Latihan 1
  • Berlari anak dan melangkah ke dalam kawasan mendarat.
  • lni dibuat secara berulang-ulang. Tetapkan tanda permulaan larian.
  • Tujuan latihan ini ialah untuk menumpukan perhatian peserta kepada langkah larian yang sama.



    Latihan 2
  • Berlari dari tandaan dan melonjak tinggi
  • Lutut kaki bebas diangkat tinggi dan tangan dihayun ke atas.
  • Pelari tidak semestinya memijak papan lonjak. Lakukan latihan ini berulang-ulang.
  • Latihan ini dapat membantu atlit merasai keadaan sebenar semasa melonjak ke atas.
  • Mereka hendaklah cuba melonjak seberapa tinggi yangboleh semasa melakukan latihan ini.


    Latihan 3
  • Gunakan tali sebagai halangan.
  • Atlit berlari dan melonjak.
  • Semasa berada di udara, kaki bebas dibuka luas ke hadapan.
  • Mendarat secara mengangkang dengan kaki bebas (kaki di sebelah hadapan) mencecah tanah dahulu.
  • Latihan ini bertujuan untuk memastikan pelompat dapat melonjak dengan tinggi dan menggerakkan kakinya yang bebas ke hadapan semasa berada di fasa layangan.


    Untuk membina lonjakan yang tinggi

Latihan 4
  • Gerakkan kaki lonjak ke hadapan bersama-sama dengan kaki bebas supaya pelompat mendarat dengan kedua-dua belah kakinya melunjur ke hadapan.
  • Tujuan latihan ini ialah untuk memahirkan atlit tentang cara mendarat yang betul.


    Latihan 5
  • Berlari pantas (11 hingga 13 langkah), melonjak dan mendarat.
  • Gunakan dan sesuaikan tandaan untuk mencapai ketepatan melonjak.
  • Latihan ini merupakan latihan melompat jauh secara keseluruhannya
    lompat jauh secara keseluruhan.



    LATIHAN DAN AKTIVITI LOMPAT JAUH
  • berlari sejauh 20 hingga 30meter.
  • lompat jauh dirian.
  • melompat melepasi halangan.
  • lompat ketingting – perlumbaan lari berganti-ganti
  • melompat anak sungai.
  • lompat melepasi halangan.


    PERATURAN ASAS LOMPAT JAUH

Lompatan peserta dikira gagal jika dia melakukan perkara-perkara berikut:-

  • menyentuh kawasan hadapan papan lonjak dan meninggalkan kesan dengan mana-mana bahagian badannya ketika melompat atau ketika cuba melompat.
  • Semasa mendarat, seleruh badan pelompat berada di luar kawasan mendarat.
  • pelompat dibenarkan melonjak sebelum sampai di papan lonjak. Kaki lonjak tidak
    semestinya menyentuh tepat di atas papan lonjak.
  • jarak lompatan diukur daripada kesan atau tanda yang terdapat di kawasan mendarat. Ukuran yang dibuat adalah mengikut jarak di antara papan lonjak dengan kesan mendarat yang terhampir.